Telah dihebahkan kenyataan saya dalam Asian Wall Street Journal, “I support all efforts to protect the security of the state of Israel,” (Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel) sedangkan kenyataan penuh selepas itu, “a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians." (pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin) tidak pula disiarkan sepenuhnya.
Media, pimpinan UMNO dan Dato’ Seri Najib Razak berterusan menabur fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin
Kenyataan saya kepada Asian Wall Street Journal secara jelas 
meletakkan aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keadilan, keamanan dan 
maruahnya dihormati sebagai syarat kepada tuntutan Israel agar 
keselamatannya dijamin1.
Pendirian saya ternyata diterima pimpinan dunia Islam seumpama 
Kerajaan Arab Saudi seperti yang diungkapkan Menteri Luar nya, Putera 
Saud al Faisal2 bahawa:
“This [2002 Arab Peace Initiatve] is the way toward security.. 
Israel can’t keep the land and want security at the same time. It has to
 withdraw and give the Palestinians their rights. If Israel does that, 
the Arab states will put an end to the state of war. That will give 
Israel its security”.
Baru-baru ini Raja Abdullah dari Jordan juga mengulangi pendirian yang sama:
“The Palestinian right to statehood and their cry for justice and
 a homeland free of occupation remain the Arab people's foremost cause. 
In Jordan, the "final-status" issues—including borders, refugees, 
security and Jerusalem—are at the heart of our priorities. This means 
making real the promise of a viable, independent, sovereign Palestinian 
state, as part of a two-state agreement that resolves all final-status 
issues and guarantees security for Israel.”3
Makanya, persoalan tuntutan jaminan keselamatan Israel yang 
bersyaratkan kepada keadilan dan keamanan diberikan kepada rakyat 
Palestin bukanlah perkara baru. Sedangkan saya tuntas mendokong aspirasi
 rakyat Palestin sekian lama, bermula dari memimpin demonstrasi 
membantah keganasan Israel yang mendapat dokongan Amerika pada tahun 
1973 di hadapan Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur dan mewakili Malaysia 
pada tahun 1983 ke Persidangan PLO di Algiers setelah menerima undangan 
dari Yasser Arafat.
Pendirian saya tuntas menjunjung aspirasi rakyat Palestin yang 
mahukan keamanan, keadilan dan kehidupan yang bermaruah bertepatan 
dengan semangat yang disuarakan oleh Ismail Haniyeh, Perdana Menteri 
Palestin4:
“If Israel withdraws to the ’67 borders, then we will establish a
 peace in stages.. Number one, we will establish a situation of 
stability and calm which will bring safety for our people – what (Hamas 
founder) Sheikh (Ahmed) Yassin called a long-term hudna (truce). If 
Israel declares that it will give the Palestinian people a state and 
give them back all their rights, then we are ready to recognise them”.
Saya hargai pandangan dan semangat sahabat-sahabat dari PAS, Majlis 
Syura PAS dan seluruh gerakan dakwah dan pertubuhan Islam yang 
berterusan membela nasib rakyat Palestin.
Ketetapan PAS yang menentang keras pencerobohan dan kezaliman Israel 
terhadap rakyat Palestin turut dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia. 
Saya memahami perbezaan pendirian PAS dengan KEADILAN. Parti Islam 
SeMalaysia berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan mereka 
tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang rundingan serta kerjasama 
dengan Israel.
Walaupun begitu Parti Keadilan Rakyat berkongsi hasrat dengan PAS 
untuk melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, bebas dan
 makmur, yang juga merupakan hasrat seluruh rakyat Malaysia yang 
cintakan keamanan dan keadilan.
Ini berbeza dengan adu domba UMNO yang bermuka-muka dan mengambil 
kesempatan di atas sentimen kuat pro-Palestin di negara ini bagi 
matlamat politik sempit mereka. Tatkala media UMNO menyerang saya 
sebagai ejen Israel, Menteri Luar dari UMNO secara terbuka mengesahkan 
kewujudan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara (two-state solution) di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu5.
Manakala saya dituding mengkhianati aspirasi rakyat Palestin, Menteri
 Pertahanan dari UMNO jugalah yang duduk berbincang dengan Menteri 
Pertahanan Israel pada tahun 20096, walaupun perkara ini cuba dipadamkan.
Namun rakyat tidak lupa bahawa pentadbiran Perdana Menteri bergegas 
melantik APCO yang turut diterajui Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua 
Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan 
berpangkat Mejar Jeneral. Malah, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir
 Mohamad yang terus menerus memfitnah saya pernah bertemu Perdana 
Menteri Israel dan menteri luarnya, Shimon Peres di Paris pada tahun 
1994.
Pada masa yang sama sesuatu yang tidak dapat dinafikan pimpinan UMNO 
bahawa Malaysia merupakan rakan dagang Israel ke 15 terbesar.7 Jumlah dagangan antara Malaysia dan Israel mencecah 667.6 juta Euro.
Sikap bermuka UMNO dalam isu Palestin bukanlah perkara baru, sebab 
itu saya jelas menyeru sahabat-sahabat dan rakyat Malaysia supaya 
menumpukan tenaga membantu meringankan penderitaan saudara-saudara di 
Palestin.
Derita ini ditanggung setiap hari tatkala rakyat Palestin menyabung 
nyawa menyelamatkan diri dari serangan dan pendudukan tentera Israel. 
Ini kenyataan kehidupan seharian seorang rakyat Palestin yang harus kita
 insafi.
Saban hari, keperluan asas seperti air minuman, makanan, ubat-ubatan,
 simen untuk pembinaan dan pelbagai keperluan lain tidak dibenarkan 
masuk ke Gaza akibat sekatan Israel. Sengsaranya rakyat Palestin bila 
mana 80% dari mereka memerlukan bantuan makanan, 90% hidup dalam 
kemiskinan, lebih separuh daripada isirumah hanya makan sekali sehari 
dan lebih 60% kanak-kanak menghidap anemia dan kekurangan zat makanan.
Sebab itu saya yakin bahawa aspirasi rakyat Palestin yang mengambil 
kira kepayahan seharian mereka seperti yang disuarakan oleh 
pimpinan-pimpinan mereka wajib dijunjung dan dihargai. Semangat 
setiakawan rakyat Malaysia yang selari dengan aspirasi itu bukanlah satu
 pengkhianatan kepada perjuangan mereka, sebaliknya menjadi dokongan 
utama kepada usaha mewujudkan keamanan dan memberikan keadilan kepada 
rakyat Palestin.
Oleh kerana itu wajar buat kita memahami, menghargai dan menjunjung 
aspirasi rakyat Palestin yang disuarakan melalui dua pertubuhan utama 
tersebut. Sepertimana pertemuan saya baru-baru ini di Doha dengan Khalid
 Mashaal, sebelum termeterainya persetujuan bersama tersebut, saya 
ulangi dokongan saya buat perjuangan rakyat Palestin, Hamas dan Fatah. 
Manakala pengiktirafan negara Israel tertakluk selagi mana Israel 
menghormati kedaulatan wilayah dan keselamatan rakyat Palestin.
Justeru adalah mustahak untuk kita sedari suara rakyat Palestin 
mutakhir ini adalah melalui Hamas dan Fatah sebagaimana yang tertera 
dalam persetujuan bersama Hamas dan Fatah di Doha hari ini.
Persetujuan tersebut antaranya mengungkapkan dokongan terhadap 
aspirasi rakyat Palestin, pengunduran tentera Israel dari tanah Arab, 
menghentikan keganasan dan memperakui kewujudan Palestin.
Seandainya ini dihormati maka kewujudan Israel akan diiktiraf.
Inilah juga semangat yang terkandung dalam kenyataan saya, “a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians.” (pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin).
ANWAR IBRAHIM
KETUA UMUM
PARTI KEADILAN RAKYAT
No comments:
Post a Comment