Alasan yang diberikan oleh Amerika dan Israel atas tindakan zalim dan melanggar norma undang-undang antarabangsa ini adalah bertujuan untuk menghentikan Iran daripada membina senjata nuklear.
Tuduhan oleh Amerika, Israel dan sesetengah negara Eropah bahawa Iran sedang membina senjata nuklear ternyata tidak berasas dan tidak benar sama sekali. Beberapa laporan daripada agensi intelijen Amerika dan Israel secara mutlaknya menyebut bahawa Iran tidak membina senjata nuklear dan tidak membuat keputusan untuk melakukannya.
Walaupun pemeriksaan secara extensif dilakukan oleh International Atomic Energy Agency (IAEA), mereka tidak menjumpai bukti yang jelas bahawa Iran sedang membina senjata nuklear. Pada tahun 2007, Ketua Pengarah IAEA, Dr. Mohammad El-Baradei pernah berkata bahawa “Kami tidak mendapati apa-apa aktiviti yang tidak diikrarkan atau program pembinaan senjata”.
Walaupun kenyataan muktamad El-Baradei menyatakan bahawa Iran tidak terlibat dalam pembinaan senjata, Ketua Pengarah IAEA yang baru, Yukiya Amano berkata bahawa Iran mungkin berekperimentasi dengan kajian ketenteraan sebelum tahun 2004 dan ini mungkin berterusan. Kenyataan ini bersifat spekulatif dan tidak didasarkan kepada bukti kukuh serta dibuat dalam keadaan Amerika sedang bersiap-siap untuk melaksanakan sekatan yang lebih ketat ke atas Iran.
Menurut sumber WikiLeaks, selepas Amano dilantik ke jawatan Ketua Pengarah IAEA, belia merakamkan ucapan terima kasih kepada Amerika kerana menyokong pencalonan beliau dan memberikan jaminan bahawa beliau akan solid menyebelahi Amerika dalam setiap keputusan penting, daripada perlantikan personal di tahap tertinggi kepada pengendalian kes pertuduhan program senjata nuklear ke atas Iran.
Di bawah kepimpinan Amano, IAEA seolah olah menjadi alat Amerika dan Israel dalam mencapai matlamat geo-politik mereka. Amano telah menggadaikan prinsip kemandirian dan integriti IAEA, oleh itu beliau harus meletak jawatan.
Pada tahun 2007, sepatutnya pemeriksaan ke atas program nuklear Iran dimuktamadkan namun Amerika dan Israel mempunyai alasan tersendiri untuk meneruskan pemeriksaan ini di bawah Majlis Keselamatan PBB. Dengan memanipulasi isu nuklear mereka berhasrat untuk melakukan ‘regime change’ di Iran seperti mana yang mereka lakukan di Iraq. Iran disasarkan untuk agenda ‘regime change’ adalah semata-mata kerana mereka menentang hagemoni Amerika dan menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Pada Februari 2012, Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin menuduh Barat sengaja ingin melakukan perubahan regim atas helah untuk menghentikan percambahan senjata pemusnah besar-besaran (WMD).
Sikap hiprokit dan ‘double standard’ Barat amat ketara.
Israel secara diam-diam membina dan memproses lebih daripada 200 senjata nuklear beserta sistem penghantaran yang sofistikated melalui jalan air, lautan dan darat. Israel bukan anggota kepada Nuclear Non-Proliferation Treaty (NPT), maka ia tidak tertakluk kepada pemeriksaan IAEA, sementara Iran adalah tertakluk kepada pemeriksaan IAEA.
Israel telah melakukan tindakan agresif kepada negara-negara jiran dengan berulang kali mengancam untuk menggunakan senjata nuklear. Sewaktu Amerika memejamkan mata kepada tindakan negara samseng ini bercanggah dengan undang-undang, dalam masa yang sama mereka mengenakan sekatan yang melumpuhkan ke atas Iran hanya kerana menjalankan hak mereka untuk memperkayakan uranium bagi tujuan menghasilkan tenaga dan perubatan.
Sekatan ini menurut Gary Ackerman, Ahli Kongres Amerika adalah berniat untuk melumpuhkan dan memusnahkan ekonomi Iran yang akhir menyebabkan rakyat Iran akan tertekan dan bangkit untuk membuang pemerintah yang sedia ada. Jika melalui jalan ini gagal, maka jalan perang akan diambil yang akhir menyebabkan kehilangan nyawa, kemusnahan dan kemeruduman ekonomi global.
Ancaman perang dan memaksakan sekatan ekonomi ke atas negara yang berdaulat merupakan satu jenayah undang-undang antarabangsa malangnya masyarakat dunia tidak melakukan sesuatu untuk menghalang tindakan tidak bertamadun ini. Sebaliknya banyak negara negara berkerjasama dengan Amerika untuk menghancurkan ekonomi Iran yang menyebabkan penderitaan dan kesusahan yang teramat sangat di pihak rakyat Iran.
Satu tragedi yang amat memalukan apabila negara OIC seperti Arab Saudi dan negara teluk yang sepatutnya membantu Iran bersesuaian dengan Piagam OIC, sebaliknya menyokong usaha sekatan ekonomi tajaan Amerika ke atas Iran. Kami memuji usaha dan keputusan daripada mesyuarat negara BRICS yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan untuk tidak menyokong tindakan sekatan ini dan berhenti mengimport minyak Iran.
Pertubuhan masyarakat madani harus bangkit menentang keangkuhan Amerika dan Israel dengan memobilasi masyarakat untuk menentang ancaman perang terhadap Iran dan memecahkan sekatan ekonomi Amerika.
Kami menyeru:
1. Kerajaan Malaysia untuk menarik balik arahannya kepada
Petronas untuk berhenti untuk mengimport minyak dari Iran dan
mempromosikan jualan minyak sawit dan produk-produk penting kepada Iran.
2. OIC Mengutuk ancaman perang Amerika-Israel terhadap Iran
dan menyeru semua ahlinya membantah seruan Amerika untuk sekatan ekonomi
dan memperkukuhkan hubungan ekonomi dengan Iran. Memulakan inisiatif di PBB untuk menghalang ancaman perang dan membuang sekatan ekonomi Amerika.
3.
Dewan perniagaan, kesatuan sekerja, pertubuhan kebudayaan; keagamaan;
pendidikan; pelajar dan belia, dan Ngo di Malaysia dan Indonesia untuk
terus mara melakukan hubungan dan aktiviti solidariti bersama dengan
rakan-rakan di Iran.
4. Rakyat Malaysia dan Indonesia
harus terus membeli produk Iran dan memboikot produk Amerika sebagai
tanda sokongan kepada rakyat Iran.
5. Ngo dan para
pelajar disarankan menganjurkan pertemuan dan kempen untuk mendidik
masyarakat awam dan pembuat dasar berkenaan konflik ini dan memobilasi
sokongan massa untuk menghalang perang dan menamatkan sekatan.
Dipersetujui bersama oleh:
Citizens International
Universal Justice Network
TERAS
ABIM
Sekretariat Majils Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA)
Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (JAMA’IY)
Citizens Want Peace , Indonesia
Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH)
Ilmuan
Gabungan Mahasiswa Islam (GAMIS)
Teachers Working Group , Indonesia
PAHAM Keadilan , Indonesia
Prihatin Malaysia
Assyakirin Network of Friendship
Warga Muafakat NGO Islam Kedah (WEHDAH)
Strategic Point , Indonesia
Perantau
MP YB Dato Kamaruddin Jaafar
NADI (Nusantara Initiative for Peace and Justice)
Mohd Azmi Kordinator Kempen Katakan Tidak Kepada Perang dan Sekatan Ke atas Iran.
No comments:
Post a Comment