26 Februari 2012
Pengerusi PKR Perlis, Muhammad Faisol Abdul Rahman berkata, dakwaan itu
jelas menunjukkan kebanyakan pemimpin Umno Perlis masih tidak menyahut
seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa semua pemimpin
Umno bersatu-padu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Menurutnya, kebanyakan pemimpin politik Umno dan Barisan Nasional (BN)
Perlis masih lagi bercakaran sesama mereka bagi menjamin kelangsungan
politik masing-masing dan senario ini jelas satu petanda buruk kepada
rakyat Perlis sekiranya mereka masih lagi mentadbir negeri ini selepas
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Saya ada terdengar khabar angin mendakwa ada pemimpin Umno menuduh
kami bekerjasama dengan beberapa individu dikatakan musuh politik
pemimpin itu untuk menjatuhkan karier politik beliau di Perlis.
“Saya ingin mengulangi penubuhan ranting PKR Tambun Tulang yang menjadi
isu hangat sejak kebelakangan ini adalah inisiatif penduduk sendiri
sehingga perkara itu mengejutkan kami memandangkan kawasan itu dikatakan
kubu kuat Umno dan BN,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian.
Muhammad Faisol berkata, di sebalik kenyataan Umno Bahagian Arau yang
tetap yakin Parlimen itu akan terus menjadi milik mereka, PKR Perlis
akan terus menubuhkan sekurang-kurangnya empat ranting parti itu di
kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tambun Tulang dalam masa terdekat.
Selain itu, Muhammad Faisol turut menjelaskan tambahan dua ranting PKR
di kawasan Chuping, Padang Besar akan ditubuhkan dalam tempoh dua minggu
lagi dan ianya juga merupakan hasil inisiatif penduduk sendiri.
“Sekiranya mereka beranggapan PKR dan PR masih bermimpi di siang hari,
terpulang kepada mereka kerana saya yakin keangkuhan dan kebongkakan
akan dihukum rakyat pada PRU13.
“Sebelum ini, siapa sangka lima negeri akan jatuh ke tangan PR pada PRU
yang lalu? Kali ini, saya percaya gelombang tsunami politik lebih besar
akan melanda negeri Perlis dan yakin rakyat akan mendapat pembelaan
sewajarnya daripada kerajaan negeri di bawah PR,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Muhammad Faisol yang
menyuarakan keyakinan PR mampu menawan Parlimen Arau dan kelima-lima Dun
di bawah kawasan itu setelah tertubuhnya ranting Tambun Tulang
baru-baru ini.
Bagaimanapun, Shahidan menyangkal keyakinan PKR Perlis dan menegaskan
Umno Bahagian Arau tidak gentar kerana parti itu yakin rakyat akan
memberi sokongan kepada pemimpin yang berbudi kepada mereka.
No comments:
Post a Comment